Sunday, May 24, 2009

1Malaysia. Bermula dengan 1Sekolah

  1. Saya memahami Malaysia mengandungi masyarakat majmuk iaitu Kaum Pribumi Melayu dan Bumiputera, Cina dan India. Sejak 50 tahun merdeka, perpaduan semua kaum agak baik mahupun ada suara-suara sumbang kedengaran menyatakan ketidakadilan apabila pribumi diberi pelbagai keistimewaan walaupun ianya termaktub didalam Perlembagaan Malaysia.
  2. Realitinya kaum pribumi masih jauh kebelakang kemajuannya, dan perlu diberi perhatian oleh mana-mana kerajaan yang memerintah baik di negeri-negeri mahupun pusat.
  3. Kestabilan negara hanya akan tercapai apabila jurang ekonomi dan sosial antara kaum dapat dirapatkan dan dengan itu dasar-dasar seperti membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat perlu diteruskan dan disokong oleh semua lapisan masyarakat.
  4. Perpaduan juga boleh dipupuk sejak awal usia lagi bagi generasi Malaysia yang akan datang. Jika kita membawa anak kita ke padang permainan, mereka dengan gembiranya bercampur dengan kaum-kaum yang lain bermain bersama-sama.  Di padang permainan ini kita akan melihat betapa indahnya erti perpaduan dan perlakuan kerjasama antara kaum dipotretkan oleh anak-anak kita disitu
  5. Tetapi apabila mereka berusia tujuh tahun, sistem pendidikan kita memisahkan mereka atas alasan memelihara budaya dan bahasa sesuatu kaum. Kaum peribumi memilih sekolah kebangsaan dan kaum cina dan india memilih sekolah-sekolah jenis kebangsaan mereka.
  6. Alangkah baiknya jika semua budaya dan bahasa diajar disatu sekolah. Alangkah seronoknya bila kita lihat melayu pandai berbahasa mandarin dan sebaliknya. Apa untung kepada melayu hanya mengetahui bahasa melayu dan inggeris sahaja sedangkan sekeliling mereka ada bahasa-bahasa dan budaya-budaya yang lain?
  7. Untuk permulaan, bolehlah setiap sekolah perlu ada komposisi kaum yang jelas. Sekolah kebangsaan harus mengandungi 60% pribumi 20% kaum cina dan 10% india serta 10% lain-lain begitu juga dengan sekolah cina mengandungi 60% cina, 20% melayu dan 10% india serta 10% lain-lain dan sekolah tamil mengandungi 60% india, 20% melayu dan 10% cina serta 10% bangsa lain.
  8. Akhirnya nanti sekolah-sekolah ini akan menjadi sekolah kebangsaan dengan penerapan berbilang kaum di sekolah tersebut. Konsep 1Malaysia bermula dengan 1Sekolah